Tuesday, August 12, 2014

Preview Penulis: Analisis Kekuatan Individu

Selaku rakyat kepada negara membangun seperti Malaysia, tidak boleh dinafikan bahawa keadaan ekonomi kita jauh lebih berbeza jika dibandingkan rakyat di Australia. Jika kita berbangga dengan kepelbagaian budaya yang kita ada, disini juga sama. Cuma yang bezanya mereka rakyat pelbagai budaya yang mempunyai kuasa beli 3 kali ganda lebih tinggi daripada kita di malaysia. Mungkin ini adalah salah satu sebab kenapa rakyat Malaysia mula untuk bermigrasi dan bekerja di luar negara.

Dalam domain sumber pendapatan saya secara peribadi di Malaysia, selaku pekerja dalam bidang profesional, pendapatan saya masih tidak mampu untuk menanggung keperluan hidup saya sehari-hari. Hidup dalam keluarga yang agak besar dan menjadi abang sulung kepada 8 orang adik beradik dengan status saraan ibu tunggal, saya merasakan agak payah untuk saya membuat simpanan peribadi melainkan kesemua wang gaji saya digunakan secukupnya untuk menampung hidup kami sekeluarga. Oleh itu, hasil perbincangan saya bersama salah seorang rakan saya yang sudah bekerja 3 tahun di Australia, beliau berjaya meyakinkan saya untuk bekerja di bumi yang amat luas ini.

Tahun pertama saya disini, masa itu musim Picking Table Grape bermula, awal bulan Januari di Mildura Victoria, berkat niat dan harapan keluarga di Malaysia, perjalanan saya agak mudah disini. Istilah MUDAH bagi saya agak berbeza lavel-nya dengan kebanyakan orang yang saya jumpa disini. 

Sebagai Contoh, saya bertemu dengan seorang mamat pertengahan usia daripada Semenjung Malaysia yang bercerita kepada kami selaku budak baru pada masa itu bahawa betapa payah dan susahnya kerja Picking ni. Mamat ni kata, owner ladang cerewet la, kurang ajar la, dan untuk budak baru, first day picking memang tak akan cecah 20 box, sebab buah yang kami mula picking pada keesokkanya adalah Sable (anggur ni berwarna hitam, kecil sedikit berbanding Autumn Royale). Dipendekkan cerita, hari pertama saya dapat 32 box. Satu box $3.20. Kurang 5 box daripada Mamat yang duk cerita bersungguh tadi. Minggu pertama sahaja pendapatan saya sebanyak $800.00 Kalau ditanya saya, bagi saya kerja picking ni adalah yang paling senang. Mungkin sebab sifat semulajadi saya yang suka menghias dan mengemas rumah, maka apa sahaja kerja yang menyusun dan memerlukan ketelitian adalah kerja yang mudah. Kata orang, alah bisa tegal biasa. Oleh itu, moral kepada contoh ini ialah, senang atau susah kerja di ladang Australia ni bergantung kepada rutin aktiviti dan kerja kita sehari-hari di Malaysia.

Contoh kedua, lebih kurang dalam 2 minggu selepas musim picking, musim Pruning, Pulling, dan Rolling akan bermula. Selaku orang baru, kerja yang saya perlu lakukan ialah Pulling. Saya akui, kerja ni memang sangat berat untuk saya kerana menggunakan tenaga semata-mata. Selama lebih kurang 2 bulan kerja ini berlansung, purata pendapatan saya setiap minggu ialah 500 dolar. Tetapi, salah seorang daripada kawan saya sangat perform kerja seperti ini. Dalam seminggu paling minimum gaji beliau ialah 500 dolar siap tolak rumah dan transport, maksimum beliau perolehi 900 dolar seminggu. Oleh itu, moral kepada contoh ini ialah SUSAH bagi saya tidak semestinya SUSAH bagi orang lain. Masing-masing ada kelebihan. So, analisis keupayaan diri anda dahulu. Apa yang boleh dan tak boleh anda buat. Tetapi itu tidak bermaksud bila anda tak boleh buat maka anda akan berhenti daripada bekerja dan nak buat yang anda boleh sahaja. Pada fasa ini, pada saya, saya akan melawan emosi dan dalaman saya. Saya memerlukan reverse psikologi untuk saya sentiasa bersemangat. Ibu saya selalu perpesan, untuk bekerja kuat, kena tidur awal sebelum pukul 12 malam dan bangun awal pagi sebelum pukul 6. Petua ini sangat bagus dan berkesan. So saya teruskan.

Kedua-dua contoh yang saya nyatakan di atas adalah gambaran sebenar yang berlaku kepada saya dan rakan-rakan saya disini. Harap ia mampu memberi gambaran awal terhadap langkah pertama yang perlu anda lakukan sebelum bekerja sebagai Peladang di Australia. Saya yakin ia mampu menjadikan diri kita mudah untuk beradaptasi dengan budaya kerja disini.