Thursday, April 30, 2015

ONSHORE PROTECTION VISA (Subclass 866) : Peluang Ataupun Perangkap


Artikel kali ini saya kongsikan kepada para pembaca kerana bagi saya ianya penting untuk dihadam agar kita mampu memikirkan mekanisme yang sewajarnya bilamana kita berhadapan dengan mana-mana migration agent disini samada berdaftar ataupun tidak berdaftar (klik disini untuk mengetahui agen yang anda temui berdaftar ataupun tidak dengan kerajaan AU). 



Lebih kurang sebulan (dalam analisis serius) saya mengambil masa untuk mengolah maklumat, yang bagi saya tepat untuk menjelaskan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “Protection Visa”. Mungkin bagi mereka yang sudah berada di dalam proses memohon/menunggu keputusan visa jenis perlindungan ini sudah merasakan ianya adalah perkara biasa disini. Tetapi malangnya, bila ditanya, mereka hanya mampu memberikan ucapan yang terlalu ‘surface’ atau meminta kita menggunakan peguam atau agen imigrasi ataupun kawan-kawan kenalan mereka, lalu gagal untuk memberikan kepada kita fahaman sebenar terhadap visa perlindungan ini. Jika ada para pembaca yang mengetahui maklumat yang lebih tetap, saya alu-alukan untuk berkongsi sama diruangan komen artikel ini.

Berdasarkan pemantauan saya, yakin saya katakan bahawa lebih kurang 90% pemohon visa ini, yang berkerakyatan asal sama dengan saya gagal, lalu terpaksa balik semula ke Malaysia ataupun lesap begitu sahaja tanpa sebarang jejak kerana menjadi buruan Pihak berkuasa disini. Lagi menyedihkan, ada pula beranggapan bahawa permohonan visa ini sudah berjaya dengan hanya memegang dokumen urusan peguam dan visa sementara (bridging visa) sebagai dokumen sah untuk mereka bekerja di Ladang. Kesannya, bila bertembung dengan pihak imigrasi dan kantoi bekerja di Ladang, ceritanya sama sahaja, tetap dihantar balik ke Malaysia atas sebab bekerja secara haram disini. Justru, sasaran wang simpanan tidak kesampaian kerana sudah terlalu banyak kos digunakan untuk urusan visa tersebut. Bagi saya satu sahaja puncanya…’Kurang Faham’… 



Maka dengan artikel ini, saya berharap saya dapat menyumbang sedikit sebanyak kepada fahaman para pembaca akan kapasiti dan kondisi yang wajib ada kepada pemohon agar pemohonan tersebut tidak berakhir dengan sia-sia. Jika, anda merasakan anda tidak berkapasiti seperti yang saya cuba jelaskan dibawah ini, maka nasihat saya, baik berhenti daripada memohon visa ini. Cuba untuk cari jalan lain, atau lebih baik simpan duit tu. Dah cukup sasaran tabungan nanti, barulah anda fikirkan langkah yang seterusnya. Tetapi, jika anda yakin anda boleh menerima risiko penolakan dan tidak kesah dengan kos urusan yang melambung tinggi, maka buat dan mohonlah visa ini. Bagi saya mudah, fahaman yang baik mampu mengurangkan kos pengurusan, dan tidak perlu menggunakan khidmat peguam untuk memohon. Maka banyak benda yang boleh dijimatkan, selamatlah duit kita. Dalam masa yang sama kita juga terselamat daripada sebarang musibah atau perangkap akibat ketidakfahaman kita terhadap keperluan visa ini dimata kerajaan Asutralia. 


ISTILAH DASAR YANG PERLU DIFAHAMI 



Terdapat dua (2) istilah yang anda harus faham terlebih dahulu sebelum saya berbicara berkenaan visa perlindungan ini. 

1. Definisi Pelarian (Refugee

Menurut Artikel 1A(2), Konvension Pelarian Sedunia; Pelarian ialah 

“owing to a well-founded fear of being persecuted for reasons of race, religion, nationality, membership of a particular social group or political opinion, is outside the country of his nationality and is unable, or owing to such fear, is unwilling to avail himself of the protection of that country; or who, not having a nationality and being outside the country of his or her habitual residence, is unable, or, owing to such fear, is unwilling to return to it.” 

Menurut fahaman saya (terjemahan bahasa melayu) ialah; 

“individu yang memiliki asas kerisauan/ketakutan yang kukuh (well-founded fear) bahawa berlakunya penindasan (atau berada didalam keadaan ditindas/aniaya) terhadap dirinya oleh sebab bangsa, agama, hak kerakyatan, keahlian mereka di dalam kumpulan sosial yang tertentu serta pegangan politik mereka, atau penganiayaan yang seumpamanya, BERADA diluar Negara kerakyatannya, tidak mampu membela diri untuk perlindungan daripada Negara tersebut (boleh jadi Negara kerakyatannya tidak mampu memberi perlindungan kepada individu pemohon); ATAU individu yang tidak memiliki kerakyatan dan berada diluar Negara tempat tinggalnya (habitual residence), tidak mampu atau tidak ingin kembali ke tempat tersebut akibat memiliki kerisauan/ketakutan yang seumpamanya (yang boleh menjejaskan fungsi kehidupan pemohon dari sudut hak asasi kemanusiaan).” 

2. Definisi Perlindungan Pelengkap (Complimentary Protection, CP); 

Sejenis visa perlindungan yang diperkenalkan melalui undang-undang domestik (berkuatkuasa pada dan selepas 24 March 2012) untuk mencerminkan obligasi (kewajipan/tanggungjawab) Australia terhadap pelbagai jenis perjanjian antarabangsa seperti; The 1984 Convention Against Torture and other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment, The 1966 Covenant on Civil and Political Rights, dan The 1989 Convention on the Rights of the Child. 

Menurut seksyen 36(2)(aa) Akta Migrasi Australia 1957 (Cth), visa perlindungan atas nama ‘Perlindungan Pelengkap’ atau singkatannya, CP ini MUNGKIN boleh diberikan kepada : Bukan rakyat Australia yang memenuhi kriteria penilian kementrian atas asas kepercayaan yang kukuh pihak kementrian terhadap individu pemohon. Kepercayaan pihak kementrian adalah berdasarkan keperluan (perlu ataupu tidak, dan bukannya kehendak pemohon) untuk pihak Australia melindungi individu pemohon daripada menderita teruk (suffer significant harm) kesan pemulangan individu tersebut ke Negara asalnya. 

Penderitaan teruk atau ‘Significant harm’ ini boleh ditakrifkan sebagai satu daripada lima perkara dibawah; 

     I. Kehilangan hak kehidupan (untuk meneruskan hidup).yang mutlak, 
     II. Hukuman mati akan dikenakan (kesalahan terbukti bukan pemohon puncanya), 
     III. Penyeksaan, 
     IV. Hukuman yang berunsurkan keganasan dan tidak berperikemanusiaan, dan/atau 
     V. Rawatan/Hukuman yang mengaibkan. 

Tidak akan tertakrif sebagai ‘Significant harm’ sekiranya satu daripada tiga perkara ini berlaku; 

I. Pemohon didapati mampu untuk mendapat hak kehidupannya sekiranya dia ditempatkan di kawasan lain di dalam negaranya. Contoh bermasalah di Semenanjung Malaysia, tetapi bila ditempatkan di Sabah atau Sarawak, individu pemohon masih boleh meneruskan/memulakan kehidupannya. Maka tidak layak CP. 

II. Perlindungan boleh diberikan oleh Negara asalnya. Contoh penderaan psikologi isteri adalah masalah yang berlaku hampir kepada mejoriti wanita yang berkahwin di Malaysia tetapi mekanisme undang-undang di Malaysia masih releven untuk mengawal dan mampu memberi perlindungan kepada pemohon. Maka tidak layak CP.

III. Ancaman/penindasan/aniaya/risiko yang dialami bersifat general kepada semua dan bukannya individu. Contohnya masalah ekonomi yang umum diketahui menindas kehidupan rakyat di Malaysia. Maka tidak layak CP.

Apakah itu ‘Protection Visa’ ? 

Visa ini boleh difahamkan sebagai jenis perlindungan yang diberikan oleh kerajaan Australia kepada individu yang dikenalpasti sebagai ‘refugee’ yang sudah berada di dalam Australia samada mendarat atau memasuki sempadan Negara ini secara sah ataupun tidak. 



Menurut konvension PBB berkaitan Status of Refugee 1951, pindaan protocol 1967, Australia adalah Negara yang menawarkan perlindungan kepada bukan-rakyatnya yang berada di dalam Australia, yang mana individu yang ingin dilindungi tersebut berjaya membuktikan bahawa dirinya adalah pelarian (refugee). 

Kepada individu yang tidak boleh didefinisikan sebagai ‘refugee’ tetapi berada di dalam Negara Australia ini, berupaya untuk membuktikan dirinya akan teraniaya dan menderita teruk (significant harm) jika dia dihantar balik ke Negara asalnya, layak diberikan perlindungan oleh kerajaan Australia atas dasar definisi Perlindungan Pelengkap, CP (Complimentary Protection). 

Sejak 9 August 2008, kepada individu yang memohon visa perlindungan ini akan di berikan ‘Permanent Protection visa’ (PPV) subclass 866 XA. Visa ini membolehkan anda; 
     a. Menjadi Penduduk Tetap (PR) Australia 
     b. Berhak untuk diberikan kelas pembelajaran Bahasa Inggeris 
     c. Berhak untuk perlindungan sosial secara penuh serta manfaatnya termasuk ‘Medicare’ 
     d. Membenarkan anda ‘sponsor’ ahli keluarga 
     e. Membenarkan anda untuk bekerja 
     f. Membenarkan anda mencapai khidmat ‘Settlement Support’ 
     g. Membenarkan anda ‘leave’ dan ‘re-enter’ Negara Australia 

Keadaan yang pasti tidak akan dipertimbangkan untuk kelulusan visa perlindungan ialah: 

a) Alasan yang kukuh bahawa pemohon telah/sudah/dalam proses; terlibat dengan jenayah keamanan, jenayah perang, atau jenayah kemanusiaan; ATAU terlibat dengan isu jenayah politik yang serius sebelum memasuki Australia; ATAU bersalah terhadap akta atau prinsip kemanan dan kebebasan yang telah diwartakan oleh pihak PBB. 

b) Asas dakwaan yang kukuh bahawa pemohon adalah individu yang; berbahaya/memudaratkan perlindungan Australia; ATAU telah disahkan dengan keputusan juridikasi akhir bahawa individu pemohon mampu/boleh/berupaya untuk mendatangkan kesan bahaya/mudarat kepada komuniti masyarakat di Australia. 



ANALISIS PERCATURAN DAN ISU SEMASA


Berdasarkan perkongsian maklumat di atas, saya kira asas ini cukup untuk anda hadam terlebih dahulu istilah demi istilah tersebut agar anda faham isu yang akan saya nyatakan dibawah ini. Jika anda ingin maklumat yang lebih lanjut, saya cadangkan anda mengakses laman web rasmi pihak imigrasi Australia (disini : www. Immi.gov.au) dan jika perlu untuk anda menggunakan ejen imigrasi, sila pastikan terlebih dahulu bahawa mereka berdaftar dengan Migration Agent Registration Authority (klik disini : www.mara.gov.au).



Berdasarkan pemerhatian saya, Australia merupakan Negara yang mengutamakan hak kemanusiaan dan kebebasan sosial yang adil dan saksama. Bukan sahaja rakyatnya dilindungi dengan pelbagai faedah hasil pengurusan cukai yang baik, malah pelaksanaan dasar kerajaan yang holistik disemua kawasan manjadikan Australia merupakan Negara yang sentiasa bergerak kehadapan. Tidak boleh dinafikan bahawa wujud ketirisan di dalam perlaksanaan dasar, namun kesedaran sivik masyarakat di Australia yang sentiasa berada di tahap teratas perlaksanaan, menjadikan pihak kerajaan Australia mudah untuk memastikan keberjayaan dasar untuk kemaslahatan sejagat. Dengan mengangkat hak kemanusiaan serantau, bukan lagi suatu persoalan yang serius kepada Australia untuk menawarkan visa perlindungan berstatus ‘permanent residence’ kepada individu yang bukan rakyatnya. Bagi mereka, kehadiran visa ini merupakan tanggungjawab mereka kepada hak asasi kemanusiaan dan ia adalah “peluang kedua” kepada individu yang ditindas/dianiaya untuk memulakan kehidupan yang baru di Negara ini.

Daripada perspektif yang lain pula, visa ini juga boleh menjadi perangkap kepada pekerja asing di Australia. Eksploitasi dan manipulasi oleh pendatang asing terhadap peluang yang terbuka ini bukan lagi perkara yang luar biasa bagi pihak kerajaan disini. Mereka tahu, kewujudan visa perlindungan ini boleh digunakan sebagai senjata untuk memerangi lambakan pekerja asing. Seperti yang saya katakan, pengurusan cukai kerajaan disini sangat sistematik. Pekerja asing yang bekerja disini tidak pernah memberikan cukai pendapatan kepada kerajaan. Segelintir majikan terlepas daripada sistem percukaian akibat mengaji pekerja yang tidak berdaftar. Maka, mereka tawarkan CP agar mereka dapat mengesan para pekerja haram ini untuk dilupuskan melalui sistem percukaian dan perkongsian maklumat diri yang terperinci semasa permohonan. Suatu mekanisme yang bijak bagi saya. 



Sepanjang saya berada disini, saya telah bertemu dengan beberapa kenalan (rakyat Malaysia, melayu, berlatar belakang dan karekter yang berbeza-beza) yang sudah/dalam proses memohon (lulus dan ditolak) untuk memiliki visa perlindungan ini. Berikut merupakan situasi yang saya boleh kongsikan bersama anda:

A. Menukar Agama

Malaysia merupakan Negara yang menjadikan Melayu adalah kaum yang beragama Islam. Berdasaarkan dakwaan tiga orang kenalan saya disini, akibat keengganan pihak kerajaan Malaysia menjadikan orang Melayu berstatus “kristian”, “tidak beragama” atau sebaliknya, maka mereka layak diberikan CP. Dua orang daripadanya sudah berjaya. Seorang ditolak kerana kurang memahami keperluan dan kehendak beliau untuk keluar daripada agama Islam lalu menganut agama yang sebaliknya. Dua orang yang lain sanggup bergelar Murtad dengan mengakui bahawa Islam bukan agama yang baik untuk mereka. Saya suka bercerita tentang individu yang telah ditolak permohonannya ini. Setelah beliau mendapat tahu permohonan tersebut ditolak, beliau tidak ingin balik ke Malaysia. Maka beliau menghilangkan diri begitu sahaja tanpa dikesan. Lebih kurang 6 bulan selepas itu, saya mendapat khabar berita bahawa beliau telah ditangkap. Menurut daripada penyampai cerita tersebut, beliau dipenjarakan terlebih dahulu sebelum dihantar ke Malaysia akibat cuba untuk menipu pihak kerajaan Australia dengan mengeksploitasi CP bagi membolehkan beliau bekerja di Australia. Alasan beliau menukar agama didapati palsu.

B. Masalah Rumahtangga

Seorang wanita kenalan saya cuba untuk meyakinkan saya memohon CP dengan memperkenalkan agen imigrasi kawannya. Menurut beliau, kawannya telahpun berjaya diberikan CP dan menjadi PR disini hasil pertolongan agen tersebut. Caj perkhidmatan dikenakan sebanyak AUD5000.00 sekepala. Sempat saya bertanya keapda beliau, apakah ‘significant harm’ yang dialami oleh beliau semasa berada di Malaysia? Beliau menjawab, masalah rumahtangga. Beliau sering didera suami dan diugut bunuh. Maka beliau lari ke Australia untuk meminta perlindungan. Pada masa tersebut, satu sahaja persoalan saya kepada beliau… adakah undang-undang di Malaysia gagal mengatasi masalah penderaan ini? Jawapan beliau, tidak perlu dipersoalkan sebegitu, kerana agen imigrasi beliau sudah meyakinkan beliau akan dapat CP atas alasan sedemikian. Setahun selepas saya bertemu beliau, samasa saya melayari ruangan Facebook saya, saya dapati beliau sudah berada di Malaysia. Malah menjadi agen pekerjaan ladang disana untuk dihantar bekerja disini. Rupanya, permohonan beliau ditolak dan terpaksa balik ke Malaysia.

C. Hutang Along

Seperti biasa, penghutang jika sudah tidak mampu untuk membayar, maka mereka akan cuba mencari seribu alasan untuk lari daripada tanggugjawab tersebut. Ketidakupayaan untuk membayar balik akibat kesempitan hidup adalah perkara yang kedua perlu dibincangkan. Yang paling penting, menjadi persoalan utama ialah kenapa meminjam dengan Along? Kenalan saya dalam kategori ini adalah orang yang paling licik yang pernah saya temui disini. Mungkin bagi mereka Along adalah “.. a particular social group…” yang dinyatakan di dalam artikel 1A(2) Konyensyen Pelarian Sedunia. Saya akui, dakwaan ini agak bijak. Tetapi, mereka terlupa untuk mejawab soalan utama iaitu, kenapa Along? Maka akhirnya, permohonan CP mereka kabur dan yang telah ditolak permohonannya terpaksa balik ke Malaysia, malah ada yang lebih dahsyat, lesap tanpa jejak. Saya juga tidak ada idea kemana hala tuju mereka disini. Kejayaan dengan alasan ini, masih menjadi persoalan kepada saya kerana saya masih belum bertemu kepada individu-individu yang sudah berjaya diberikan CP.

D. Muflis

Seorang kenalan saya menggunakan alasan ini untuk diberikan CP. Akibat tidak boleh memiliki sebarang sumber pendapatan yang disekat oleh kerajaan Malaysia selama lebih kurang 5 tahun selepas diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia, Maka beliau yakin CP adalah satu-satunya jalan untuk beliau menyara keluarga disini. Beliau memasuki Australia atas grento dengan menggunakan visa ETA. Setibanya disini, beliau terus memohon PPV. Beliau diberikan BVE (Bridging Visa E), lalu mampu bergerak bebas disini walaupun ETA beliau sudah tamat tempoh. Enam (6) bulan selepas itu, permohonan beliau ditolak atas alasan pemberian CP kepada beliau akan menjejaskan grento. Maka hari beliau dijadualkan balik ke Malaysia tersebut, saya bertemu dengannya di Melbourne dan sempat berkongsi pengalaman sepanjang proses permohonan beliau berlangsung.

E. LGBTi (Lesbian, Gay, Bisexual, Transgender, & intersex)

Kes ini berjaya diberikan CP. Kebanyakan ditolak kerana pemohon berlakon menjadi Pasangan Gay. Semasa sesi temuduga, psikologi dan pengetahuan pemohon terhadap LGBTi yang agak ‘surface’ dengan bukti hubungan yang direka wujud menemui kegagalan untuk dianugerahkan CP. Nasihat saya, jangan menggunakan alasan ini jika anda bukan dalam kategorinya. Jika anda berjaya, persoalan yang harus saya tanya kepada anda ialah: Adakah anda straight? Sebab saya yakin, psikiatri professional yang menilai anda semasa temuduga tersebut merupakan pakar yang boleh mengetahui samada anda straight ataupun gay.

Kesimpulannya ialah, jika anda ingin memohon CP, sila pastikan anda mampu membezakan keperluan dengan kehendak. Fahamkan terlebih dahulu dengan membaca dan bertanya kepada sumber-sumber yang tepat.Selepas ini, walau apapun keputusan yang anda ambil, ianya adalah atas risiko dan tanggungjawab anda sendiri. Nasihat saya, jangan cuba untuk mengeksploitasi atau memanipulasi tawaran visa perlindungan ini, kerana bagi saya pihak kerajaan Australia bukan ‘bodoh’.

Perkongsian ikhlas,

Harry Jayne (harry.jayneoz@gmail.com)

10 comments:

  1. saya baru je nak try apply visa nie, then bace tak jadi laa

    ReplyDelete
    Replies
    1. bole apply, tapi kena pastikan u faham apa yg u nak... jgn jadikan visa ni sebagai bahan mempermainkan immi disini.. tak pasal2 karang anda akan dicaj sebagai penjenayah sivil ole gov au nanti... implikasi buruk akn banyak menyusul kelak

      Delete
  2. harga agent kat perth mencecah 6k, kawan housemate saya baru jumpa lawyer harga lebih kurang 3500, dah isi borong dgn lawyer, dah bayar 1k, tunggu 2 minggu lagi tengok apa feedback

    ReplyDelete
    Replies
    1. yup good info chung..

      please update tuk kita org juga k... mna la tau ada kebaikan yg bole dipastikan kebenarannya utk dikongsi

      Delete
  3. Visa Eta Australia
    Maximum 3 month stay
    Valid setahun ( pm +6013 2953641 -RM 20.00 sahaja promosi terhad kepada 100 terawal - normal price RM 30.00...ingat Nilai kami RM bukan AUD. Terima Kasih..

    ReplyDelete
  4. Visa Eta Australia
    Maximum 3 month stay
    Valid setahun ( pm +6013 2953641 -RM 20.00 sahaja promosi terhad kepada 100 terawal - normal price RM 30.00...ingat Nilai kami RM bukan AUD. Terima Kasih..

    ReplyDelete
  5. Alasan apa yang sebaiknya untuk apply visa ni.?

    ReplyDelete
  6. Saya muflis 36 thn ada jalan tak nak pergi aussy... Tlg bantu saya ubah masa depan keluarga 0174812312

    ReplyDelete
  7. Jadi L g b t lah senang masok Aud..

    ReplyDelete
  8. dulu pernah mohon PV ..kalau kita balik ke malaysia..brpa lama kita tak bole masuk australia lg

    ReplyDelete